Kerjaya kelab Domenico Berardi

Sassuolo

Kerjaya awal

Berardi telah menyertai akademi Cosenza ketika beliau berusia 13 tahun sebelum beliau berpindah ke Sassuolo semasa berumur 16 tahun.[5][6]

2012–13

Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Sassuolo dalam aksi Serie B pada 27 Ogos 2012 ketika berusia 18 tahun dalam aksi menewaskan Cesena 3-0.[7] Beliau menjaringkan gol sulung dalam kariernya pada lima hari kemudian ketika menundukkan Crotone 2-1 di laman sendiri.[8][9] Pada tahun 2013, beliau telah disenaraikan sebagai "Pemain Terbaik Serie B" dalam anugerah tahunan Gran Galà del calcio selepas beliau membantu Sassuolo menjuarai Serie B yang mencipta sejarah buat pertama kali pasukannya itu akan beraksi di Serie A. Beliau juga telah menjaringkan sebelas gol pada kempen musim itu.[10] Pada Jun 2013, beliau telah dilihat sebagai "bintang [Sassuolo] yang sama sekali tidak boleh dipertikaikan."[11]

2013–14

Pada 2 September 2013, Juventus telah mengesahkan melalui laman web rasmi kelab bahawa Berardi akan menyertai kelab itu melalui rundingan pemilikan bersama manakala Luca Marrone pula berpindah secara bertentangan dari Juventus ke Sassuolo melalui perpindahan yang melibatkan Marrone dan Berardi bernilai 4.5 juta euro.[12] Berardi kekal bersama Sassuolo melalui pinjaman selama satu musim penuh pada musim 2013-14.[13][14] Beliau melakukan penampilan sulungnya di Serie A ketika berusia 19 tahun dalam aksi yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Napoli pada 25 September 2013.[15] Beliau menghasilkan jaringan sulungnya di Serie A melalui sepakan penalti pada 6 Oktober 2013 dalam aksi menentang Parma.[16] Pada 20 Oktober, beliau menyudahkan tendangan penalti Sassuolo bagi membantu pasukannya menewaskan Bologna 2–1 untuk meraih kemenangan pertama di Serie A sebelum pasukannya melonjak naik daripada tangga tercorot liga.[17] Beliau menjaringkan hatrik termasuk menyempurnakan dua tendangan penalti dalam aksi kemenangan pertama Sassuolo di gelanggang lawan dalam saingan Serie A semasa menumbangkan Sampdoria 4-3 pada 3 November 2013.[18]

Pada 12 Januari 2014, Berardi telah menjaringkan keempat-empat gol Sassuolo untuk membantu pasukannya melakar kemenangan 4-3 ke atas Milan. Dengan itu, beliau menjadi pemain kedua paling muda untuk menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan Serie A selepas Silvio Piola melakukannya pada tahun 1931 yang baru berusia 18 tahun. Beliau juga menjadi pemain pertama yang menghasilkan empat gol dalam aksi liga menentang Milan.[19][20] Pada 6 Mei 2014, Berardi menyumbat jaringan hatrik pada separuh masa pertama ketika menewaskan Fiorentina 4-3 di gelanggang lawan.[21][22] Beliau menamatkan musim ini dengan menjaringkan 16 gol dalam 29 perlawanan yang menyaksikan pasukannya berjaya mengelak penyingkiran.

2014–15

Pada Julai 2014, Berardi telah disahkan terus kekal di Sassuolo untuk menghadapi musim baru [23] manakala rundingan pemilikan bersama turut diperbaharui sehingga 20 Jun 2014.[24]

Pada 17 Mei 2015, beliau telah menjaringkan hatrik pada aksi menewaskan Milan 3-2 di laman sendiri.[25] Beliau menamatkan kempen liga bagi musim 2014-15 dengan menjaringkan 15 gol dan membantu sepuluh jaringan sekali gus meletakkannya sebagai salah seorang pembantu jaringan terbanyak liga.[26] Beliau berjaya mencetak jaringannya yang ke-30 dalam aksi liga pada perlawanan ke-59. Pencapaian beliau itu telah diakui oleh UEFA mengatasi rekod Lionel Messi yang memerlukan 70 perlawanan untuk mencapai pencapaian tersebut. Pada usia 20 tahun, beliau juga menjadi pemain termuda yang berjaya menjaringkan 30 gol sejak tahun 1958.[27] Pada 25 Jun 2015, kenyataan rasmi telah diumumkan bahawa rundingan pemilikan bersama ke atas Berardi telah diselesaikan apabila Sassuolo mengeluarkan 10 juta euro.[28][29][30] Persetujuan itu dilaporkan bahawa sebahagian daripada rundingan perpindahan Simone Zaza ke Juventus. Namun, Juventus mengekalkan pilihan untuk membawa masuk semula Berardi ke Turin pada tahun 2016.[31]

2015–16

Berardi telah membuka tirai musim 2015-16 dengan menjadi "Pemain Terbaik Perlawanan" ketika membantu pasukannya untuk mengalahkan Napoli 2-1 di gelanggang sendiri dengan mencipta peluang bagi membantu jaringan Antonio Floro Flores.[32] Walau bagaimanapun, beliau mengalami kecederaan pada perlawanan itu yang memaksanya untuk berehat selama satu bulan setengah.[33] Beliau kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan pada 20 September 2015 dengan menjadi pemain gantian ketika menentang Roma yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.[34] Beliau menjaringkan gol pertamanya pada musim ini dari dalam kotak penalti bagi membantu pasukannya melakar kemenangan 2-1 ke atas Lazio pada 18 Oktober 2015.[35] Sassuolo menamatkan aksi liga di tangga keenam sekali gus mendapat tiket ke kelayakan Liga Europa musim depan.[36]

2016–17

Pada 28 Julai 2016, Berardi telah melakukan penampilan sulungnya di pentas Eropah pada perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Liga Europa menentang Luzern. Beliau menjaringkan gol pertama Sassuolo dalam kejohanan itu dari dalam kotak penalti sebelum perlawanan itu berakhir dengan kedudukan terikat seri 1-1.[37] Dalam aksi timbal balik pada 4 Ogos, beliau telah menyumbat dua gol bagi membantu Sassuolo mengukuhkan kedudukan dengan kemenangan 3-0 sekali gus melayakkan diri ke pusingan play-off.[38] Dalam aksi pertama perlawanan play-off Liga Europa yang berlangsung pada 18 Ogos, Berardi berjaya menjaringkan gol dan membantu satu jaringan buat pasukannya melakar kemenangan 3-0 ke atas Red Star Belgrade.[39] Dalam aksi pembukaan Serie A pada tiga hari kemudian, beliau sekali lagi mencetak jaringan dari kawasan penalti untuk memberikan kelebihan kepada Sassuolo mengatasi Palermo 1-0.[40] Pada 25 Ogos, beliau berhasil menjaringkan gol (jaringan keenamnya dalam lima perlawanan) ketika menentang Red Star Belgrade pada perlawanan timbal balik play-off lalu membolehkan Sassuolo mendapat tempat dalam saingan peringkat kumpulan.[41] Pada 28 Ogos, beliau meneruskan rentak jaringannya dengan menyumbat gol pada aksi menewaskan Pescara 2-1 sekali gus menjadi pemain termuda Itali sejak musim 1994–95 yang berjaya menjaringkan 40 gol dalam Serie A di samping pemain kedua termuda di belakang Alexandre Pato yang pada masa itu berusia 22 tahun dan 27 hari. Berardi kemudiannya mengalami kecederaan dalam perlawanan itu[42][43] dan beliau dilaporkan telah mengalami kecederaan ligamen pada lutut sekali gus memaksanya supaya berehat sehingga hujung tahun.[44] Selepas diketepikan selama hampir empat bulan setengah, Berardi kembali beraksi sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Torino pada 8 Januari 2017.[45]

2017–18

Pada 24 Ogos 2017, Berardi telah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Sassuolo.[46]

2018–19

Pada 19 Ogos 2018, Berardi telah menjaringkan gol dari sepakan penalti semasa menewaskan Inter Milan 1-0 dalam aksi pembukaan Serie A pada musim 2018-19.[47]

Rujukan

WikiPedia: Domenico Berardi http://www.calcionews24.com/sassuolo-caso-berardi-... http://www.calcionewstime.com/sassuolo-berardi-squ... http://www.espnfc.com/european-under-21-championsh... http://www.espnfc.com/italian-serie-a/12/statistic... http://www.espnfc.com/italian-serie-a/12/statistic... http://www.espnfc.com/report?gameId=461297 http://www.espnfc.com/us/en/report/376957/report.h... http://it.eurosport.com/calcio/serie-a/2015-2016/l... http://www.eurosport.com/football/serie-a/2013-201... http://forzaitalianfootball.com/2013/10/sassuolo-2...